SEJARAH PERKEMBANGAN RAGBI DI SMK KGV

Permainan ragbi merupakan satu permainan yang sangat sinonim dengan SMK. KGV, malah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa perkembangan sukan ragbi di negeri ini amat berkait rapat dengan perkembangan ragbi di sekolah ini. Namun pencapaian dan kecemerlangan ragbi di sekolah agak merosot pada akhir 1980-an dan pada tahun 1990-an. Pemberian taraf sebagai sekolah premier pada tahun 1997 merupakan satu cabaran kepada sekolah ini kerana sukan ragbi merupakan salah satu permainan wajib. Hal ini menyebabkan SMK. KGV terpaksa bersaing dengan sekolah-sekolah yang memang telah terkenal dalam permainan ini sepeti SDAR, MCKK, SAS, EC, MTD dan lain-lain lagi turut terpilih sebagai sekolah premier.

                                            

 Pelbagai langkah telah disusun agar kecemerlangan sekolah dalam sukan ini dapat dicapai seperti pada awal penubuhannya sehingga akhir tahun 1980-an. Namun kejayaan yang dicapai tidak seperti yang diharapkan. Hal ini berlaku disebabkan SMK. KGv telah dipilih sebagai sebuah sekolah kawalan Jabatan Pelajaran Negeri D.K iaitu pengambilan pelajarnya adalah berdasarkan kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Hasilnya kejayaan yang dicapai oleh SMK. KGV adalah tidak seimbang. SMK. KGV hanya cemerlang dalam bidang akademik sahaja sementara dalam bidang sukan telah ketinggalan. Atas kesedaran kemerosotan sukan di sekolah ini, pelbagai pihak terutamanya YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Old Boys dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, beberapa langkah yang proaktif telah diambil. Antara langkah tersebut ialah pengambilan pelajar-pelajar bakat sukan iaitu pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan tetapi kurang cemerlang dalam bidang akademik telah dilakukan. Walau bagaimanapun, pihak JPNS dan sekolah telah menetapkan kelayakan minimum iaitu 4 A 1 B kepada pelajar-pelajar ini. Hasil daripada program ini dan komitmen daripada guru-guru yang bertindak sebagai jurulatih telah menampakkan kejayaan seperti yang diharapkan. Namun kejayaan tidak akan dapat dicapai tanpa program pembangunan yang bersistematik.

 

 

Pada tahun 2008, SMK. KGV telah terpilih sebagai salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia. Pemilihan ini telah merubah senario sukan ragbi di sekolah ini kerana permainan ini telah dipilih sebagai “niche area” dalam program Sekolah Kluster Kecemerlangan SMK. KGV. Kemudahan dari segi infrastruktur, prasarana, kewangan telah menjadikan program ragbi di SMK. KGV dalam dijalankan dengan lebih sempurna dan tersusun. Hasilnya kejayaan yang diharapkan oleh pelbagai pihak telah menjadi kenyataan. Kejayaan dan kecemerlangan SMK. KGV dalam bidang sukan terutama ragbi telah dapat dicapai sepertimana kecemerlangannya pada suatu ketika dahulu. Kini SMK. KGV telah menjadi salah satu nama yang amat disenangi dalam permainan ini sama ada di peringkatan negeri ataupun kebangsaan. Pelbagai kejayaan telah dicapai dan peningkatan ini dalam dilihat sejak tiga tahun kebelakangan ini. Matlamat untuk menjadikan sukan ragbi sebagai watak SMK. KGV telah menjadi kenyataan, namun pencapaian ini harus dikekalkan. Menyedari hakikat bahawa kejayaan mudah dicapai sementara mengekalkan kejayaan merupakan tugas yang sukar pelbagai program telah diatur seperti pembangunan pemain dan prasarana, peningkatan kemahiran pemain dan jurulatih (guru), dan sahsiah pelajar. Faktor-faktor ini yang telah menjadi pemangkin kejayaan program ragbi di SMK. KGV.